Seramai 104 warga Indonesia termasuk lima kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam satu operasi di sebuah kilang memproses kayu dan papan lapis (plywood) di Tatau pada awal pagi Ahad.
Menurut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, semua tahanan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Bintulu bagi tujuan dokumentasi dan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.
“Serbuan bermula jam 2 pagi itu membawa kepada penahanan 27 lelaki, 72 wanita dan lima kanak-kanak yang dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit kerja sah,” kata JIM Sarawak menerusi hantaran Facebook pada Ahad.
Turut ditahan, seorang lelaki tempatan dipercayai pengurus kilang, yang disyaki menggaji pekerja asing tanpa kebenaran sah.
“Suspek kini disiasat bagi mengenal pasti rangkaian penglibatan serta kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan penggajian pekerja asing tanpa izin,” katanya.
Operasi diketuai Unit Pemantauan Keselamatan dan Penguatkuasaan (UPKP) dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Bahagian Bintulu, Sri Aman dan Sarikei itu digerakkan hasil risikan dan disertai 29 pegawai penguat kuasa.
Menurut JIM Sarawak, serbuan itu mendedahkan amalan penggajian warga asing tanpa izin secara berleluasa, sekali gus menunjukkan tahap ketidakpatuhan majikan terhadap undang-undang sedia ada.
Operasi berkenaan dilaksanakan secara teratur tanpa sebarang insiden tidak diingini, dan menurut jabatan itu, usaha penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin serta memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terpelihara.