Seramai 203 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di sekitar bandar Bintulu pada Ahad (26 Okt).
Menurut JIM Sarawak, serbuan kali ini menyasarkan dua kilang papan lapis yang disyaki menggajikan warga asing tanpa dokumen sah.
“Seramai 357 individu telah diperiksa di dua lokasi dan 203 orang telah ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan antaranya Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l).
“Daripada jumlah yang ditahan, seramai 129 merupakan individu lelaki manakala 74 lagi adalah wanita,” kata JIM Sarawak dalam hantaran di laman sosial rasmi pada Isnin.
Operasi dikenali sebagai Ops Sapu itu dilaksanakan Unit Pemantauan Keselamatan dan Penguatkuasaan (UPKP) JIM Sarawak sekitar jam 2 pagi dengan kekuatan 23 anggota.
Semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut.
“JIM Sarawak akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang imigresen negara serta membanteras penggajian warga asing tanpa kebenaran yang sah,” kata kenyataan itu.
