Insights Analytics sasar fasa pertumbuhan baharu dipacu transformasi digital dan air pintar

Datuk Haji Abdul Wahab Aziz, Pengerusi, bersama Ts. Frank Wee merasmikan penyenaraian syarikat itu bersama ahli lembaga pengarah dan penasihat.

Penyedia penyelesaian teknologi berpusat di Sarawak, Insights Analytics Berhad (Insights Analytics) optimis terhadap prospek pertumbuhan masa depannya selari peningkatan permintaan terhadap sistem pengurusan air pintar dan agenda transformasi digital negara yang semakin pesat.

Syarikat yakin berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan inisiatif nasional dan negeri yang menumpukan pemodenan infrastruktur air negara, mengukuhkan daya tahan digital serta menyokong pembangunan bandar mapan.

Pengarah Urusan Insights Analytics, Ts. Frank Wee berkata, penyelesaian Syarikat termasuk Sistem Intelli Water dan penyelesaian pengurusan aset pintar adalah seiring dengan program kerajaan seperti Program Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan 2025–2030, Inisiatif Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS), Transformasi Sektor Air 2040 serta Pelan Induk Infrastruktur Air Pintar Sarawak bernilai RM20 bilion.

“Inisiatif jangka panjang ini mewujudkan rangka kerja projek yang kukuh dalam industri air. Dengan teknologi terbukti serta rekod prestasi kami, Insights Analytics bersedia memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi dan pendigitalan sektor air negara,” katanya.

Selaras strategi pertumbuhannya, Insights Analytics akan memperoleh pejabat korporat baharu di Kuching yang turut dilengkapi pusat data mini bagi mengukuhkan infrastruktur digital dan kapasiti perkhidmatan.

Pusat data mini itu bakal menyediakan platform hibrid atau berasaskan awan yang selamat dan cekap untuk pelanggan khususnya perusahaan kecil dan sederhana dalam mengurus aplikasi serta perisian mereka.

“Matlamat kami ialah membantu lebih banyak organisasi melaksanakan pendigitalan tanpa perlu menanggung kos perkakasan atau infrastruktur IT dalaman. Pusat data mini ini akan memberi lebih fleksibiliti, kebolehpercayaan dan nilai kepada pelanggan,” ujar Ts. Wee.

Bagi memperkukuhkan inovasi, Insights Analytics meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengambilan bakat khususnya profesional dalam pembelajaran mesin, analitik data, pembangunan model AI dan kejuruteraan awan. Langkah ini akan mempertingkatkan prestasi serta inovasi platform pengurusan air pintar Syarikat.

Selain Sarawak, Syarikat turut memperluaskan kehadiran di Semenanjung Malaysia bagi merebut peluang baharu dalam projek air dan infrastruktur digital di seluruh negara. Pasukan sokongan di tapak dan rangkaian operasi akan ditubuhkan bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan serta pelaksanaan projek.

Ketika ini, Insights Analytics mempunyai empat tender yang telah dikemukakan di Sarawak dengan nilai potensi terkumpul RM27.8 juta merangkumi penyelesaian teknologi air termaju dan kerja berkaitan infrastruktur.

“Dekad akan datang akan didorong oleh transformasi digital. Insights Analytics komited berada di barisan hadapan khususnya pada persimpangan data, teknologi air dan kecerdasan infrastruktur.

“Kami akan terus berinovasi, memperluaskan kehadiran pasaran serta membentuk kerjasama strategik yang memberi nilai jangka panjang kepada pelanggan, pemegang saham dan komuniti,” jelas beliau.

Prospek pertumbuhan syarikat turut diperkukuhkan oleh inisiatif digitalisasi serta bandar pintar yang diterajui kerajaan termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan 2021–2025 serta pelbagai projek pemangkin MyDigital yang menggalakkan penggunaan teknologi AI, IoT dan awan dalam sektor utiliti, logistik dan pengangkutan.

“Kami melihat diri sebagai pemacu aspirasi Malaysia ke arah infrastruktur digital dan pintar,” katanya mengakhiri kenyataan. “Dengan asas kukuh, teknologi inovatif serta hala tuju pertumbuhan jelas, kami yakin Insights Analytics bersedia memasuki fasa pertumbuhan mampan seterusnya.”

Di bawah pelaksanaan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad, Insights Analytics berjaya mengumpul RM43.56 juta melalui Terbitan Awam sebanyak 121.0 juta saham baharu pada harga terbitan RM0.36 sesaham. Penyenaraian ini turut merangkumi tawaran jualan 27.50 juta saham sedia ada kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI melalui Kaedah Penempatan Persendirian.

Daripada jumlah hasil yang dikumpul, RM22.2 juta (50.9%) diperuntukkan bagi modal kerja untuk projek berjalan dan akan datang, RM9.0 juta (20.7%) bagi pelaburan strategik serta pengambilalihan untuk mengukuhkan kemampuan teknologi. Sebanyak RM4.4 juta (10.1%) diperuntukkan untuk pejabat korporat baharu dan pusat data di Sarawak, RM1.86 juta (4.3%) bagi pengembangan operasi IT dan RM1.21 juta (2.8%) bagi pejabat cawangan Semenanjung Malaysia. Baki RM4.9 juta (11.2%) digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

Setakat 8 September 2025, buku pesanan belum dibil Syarikat bernilai RM35.3 juta yang bakal diiktiraf secara berperingkat dalam tempoh enam tahun kewangan akan datang berdasarkan kemajuan projek.

Pada harga IPO RM0.36 sesaham, modal pasaran Insights Analytics diunjurkan mencecah RM198.0 juta selepas penyenaraian berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 550.0 juta saham.

M & A Securities Sdn Bhd merupakan Penasihat, Penaja, Penjamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *