Kes rabies ragut nyawa lelaki 51 tahun, enam maut di Sarawak setakat 2025

Gambar janaan AI untuk tujuan ilustrasi

Seorang lelaki berusia 51 tahun menjadi korban terbaharu rabies di Sarawak, menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan itu meningkat kepada enam kes setakat tahun 2025, iaitu angka yang sama direkodkan bagi tempoh sama pada 2024.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dalam kenyataan pada Selasa (28 Okt) memaklumkan mangsa meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuching selepas disahkan positif rabies melalui ujian makmal.

Menurut jabatan itu, siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah digigit atau dicakar haiwan, namun pernah mengendalikan bangkai anjing peliharaan sendiri pada Jun lalu.

“Mangsa memelihara tujuh ekor anjing, namun tiada seekor pun diberikan vaksinasi anti-rabies dan dibiarkan berkeliaran bebas. Beberapa anjing dilaporkan mati atau hilang tanpa diketahui punca,” katanya.

JKN Sarawak menjelaskan, pesakit mula mengalami demam dan kebas tangan pada 8 Oktober lalu, sebelum keadaan semakin lemah dan dimasukkan ke hospital pada 18 Oktober.

Setakat 18 Oktober, sebanyak 16,765 kes gigitan haiwan dilaporkan di seluruh Sarawak dengan purata 399 kes seminggu, membabitkan 10,322 gigitan kucing (61.6 peratus), 6,238 gigitan anjing (37.2 peratus) dan 205 gigitan haiwan lain (1.2 peratus).

“Sebanyak 67.5 peratus kes melibatkan haiwan peliharaan, menunjukkan risiko jangkitan kini turut datang dari rumah sendiri dan bukan hanya daripada haiwan terbiar,” katanya.

JKN Sarawak turut memaklumkan bahawa daripada enam kes rabies manusia yang dilaporkan tahun ini, empat mangsa tidak mendapatkan rawatan selepas digigit atau dicakar haiwan.

“Rabies adalah penyakit yang hampir 100 peratus membawa kematian apabila gejala muncul, tetapi penyakit ini juga 100 peratus boleh dicegah dengan rawatan,” kata kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *