Serbuan bongkar sambungan elektrik haram di sebuah premis di Jalan Tondong

Kegiatan mencuri elektrik di sebuah premis di Jalan Tondong, Kuching terbongkar hasil serbuan bersama pasukan Syarikat SESCO Berhad (SESCO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

Sarawak Energy dalam kenyataan pada Selasa (28 Okt) memaklumkan, semasa operasi dijalankan, dua individu dikesan sedang cuba menyambung semula bekalan elektrik secara haram di premis terbabit yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dengan menyamar sebagai kedai kopi 24 jam.

Hasil siasatan SESCO mendapati bekalan elektrik di premis berkenaan telah beberapa kali dipotong sebelum ini akibat penggunaan elektrik tanpa kebenaran.

Namun, aktiviti haram itu tetap diteruskan sehingga membawa kepada tindakan serbuan bersama pasukan teknikal SESCO dan pihak polis.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati bekalan elektrik disambung semula secara haram menggunakan kabel tumpang terus (direct tapping) yang disembunyikan di bahagian siling laluan kaki lima, bagi memintas meter elektrik,” jelas kenyataan itu.

Semua pendawaian haram telah dibongkar dan dirampas, manakala laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sarawak Energy menegaskan bahawa kecurian elektrik bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga membahayakan keselamatan awam serta menjejaskan kestabilan bekalan.

“Sambungan haram sering dikaitkan dengan aktiviti perjudian dalam talian dan perlombongan mata wang kripto yang menggunakan pendawaian tidak standard serta berisiko tinggi menyebabkan kebakaran, kerosakan peralatan elektrik dan renjatan maut,” katanya.

Dalam kes di Jalan Tondong, risiko keselamatan lebih tinggi kerana kabel tumpang yang terdedah berada dalam jangkauan awam.

Sarawak Energy kekal komited melindungi integriti sistem bekalan elektrik dengan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa termasuk Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, PDRM, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengenal pasti serta mendakwa pesalah.

Selain penguatkuasaan, SESCO turut menjalankan program kesedaran bersama media, persatuan dan komuniti bagi menjelaskan implikasi undang-undang serta risiko keselamatan akibat kecurian elektrik.

Pasukan pemeriksaan meter SESCO juga dilatih secara berterusan untuk mengesan kaedah kecurian elektrik yang semakin canggih, disokong pelaburan dalam teknologi pengesanan dan sistem pemantauan masa nyata.

Sarawak Energy turut menasihatkan pemilik premis supaya memindahkan akaun elektrik kepada penyewa bagi memastikan akauntabiliti dan mengelak implikasi undang-undang jika berlaku penyalahgunaan bekalan.

Antara tanda-tanda kecurian elektrik termasuk bil yang luar biasa rendah atau kehadiran pendawaian mencurigakan dan tidak standard.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan kecurian elektrik boleh menyalurkan aduan secara sulit kepada Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau e-mel ke customercare@sarawakenergy.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *