Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak terus mencatat kejayaan dalam membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan apabila mencatatkan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM381.8 juta sejak pelaksanaan Op Taring bermula 1 Januari hingga 27 Oktober 2025
Menurut Komander Briged Sarawak, SAC Lim Bak Phai, sepanjang tempoh tersebut, Briged Sarawak merekodkan 500 kes dengan 608 tangkapan melibatkan 474 warga tempatan dan 134 warga asing, selain 319 buah kenderaan pelbagai jenis dirampas.
Dalam kenyataan pada Selasa (29 Okt), beliau berkata jumlah berkenaan merangkumi pelbagai siri operasi di bawah Op Taring Alpha, Op Taring Bravo dan Op Taring Batas/Awas, dengan sembilan kejayaan terkini dari 14 hingga 27 Oktober 2025 sahaja menyumbang nilai rampasan RM4.04 juta.
Berikut adalah empat kes terbaharu (14 hingga 27 Okt 2025) yang nilai rampasannya tertinggi.
RM1.17 juta – Serbuan Minuman Keras di Sibu (14 Okt)
Kejayaan terbesar direkodkan menerusi Op Taring Alpha pada 14 Oktober, apabila sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu menyerbu sebuah premis di Sibu dan menahan lima lelaki — tiga warga tempatan dan dua warga Indonesia.
Serbuan itu menemukan 24,552 liter minuman keras pelbagai jenis, bersama satu lori, dua kontena dan satu semi treler.
Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,179,320, termasuk minuman keras bernilai RM859,320, serta kenderaan dan kontena bernilai RM320,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
RM1.03 juta – Penyelewengan Diesel di Sibu (23 Okt)
Dalam Op Taring Bravo pada 23 Oktober, pasukan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak bersama Batalion 10 PGA Sibu menyerbu sebuah lokasi di Sibu, menahan 14 individu yang terdiri daripada 12 warga tempatan dan dua warga Indonesia berumur antara 16 hingga 58 tahun.
Operasi itu merampas 38,800 liter minyak diesel, empat skid tank, 12 tangki IBC, enam mesin, serta sembilan kenderaan termasuk lori dan van.
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,026,132, dengan kenderaan sahaja bernilai RM810,000.
Kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sibu untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Imigresen 1959/63.
RM791,200 – Rokok Kretek di Kuching (16 Okt)
Kejayaan ketiga terbesar dicapai menerusi Op Taring Alpha pada 16 Oktober apabila Cawangan Risik Briged Sarawak PGA Kuching menahan lima individu terdiri daripada dua lelaki (seorang warga tempatan, seorang warga Indonesia) dan tiga wanita tempatan berumur 30 hingga 38 tahun di sebuah premis sekitar Kuching.
Pemeriksaan menemukan 395,600 batang rokok kretek bernilai RM791,200.
Kes diserahkan kepada IPD Padawan untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.
RM511,506 – Rokok dan Arak di Bintulu (21 Okt)
Dalam Op Taring Alpha pada 21 Oktober, Cawangan Risik Batalion 12 PGA Miri menyerbu sebuah premis di Bintulu dan menahan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun.
Rampasan melibatkan 148,072 batang rokok putih, 48,120 batang rokok kretek, 821 liter minuman keras pelbagai jenis serta sebuah kenderaan, dengan nilai keseluruhan RM511,506.
Kes diserahkan kepada IPD Bintulu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.
