Dua lelaki meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki membawa muatan minyak di Jalan Majau berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Majau di Kanowit pada Rabu (29 Okt).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.32 tengah hari. Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Axia dan sebuah lori tanker yang membawa muatan minyak.
“Terdapat dua orang mangsa (lelaki dewasa) tersepit di dalam kenderaan Perodua Axia manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak tersepit,” kata jurucakap itu dalam kenyataan.
Komander operasi, PBK II (TBK I) Ribut Anak Udin, berkata pasukan penyelamat menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan Rescue Tool RTA (Road Traffic Accident).
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
