Kebakaran kilang tayar lusuh hampir padam selepas lima hari operasi

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan api. [Gambar Bomba Sarawak]

Operasi memadam kebakaran di kilang tayar lusuh di Batu 9, Jalan Kuching–Serian yang terbakar sejak Rabu lalu (29 Okt) kini memasuki hari kelima dengan 90 peratus kawasan berjaya dipadamkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan pada Ahad (2 Nov) memaklumkan, kerja-kerja pemadaman masih diteruskan bagi memadam beberapa kawasan kecil yang masih berbara di bahagian dasar longgokan tayar.

“Pasukan pemadaman sedang melaksanakan kerja-kerja overhaul dan penggalian semula menggunakan jengkaut bagi memadam bara tersembunyi.

“Tindakan pemadaman langsung (direct attack) dan pendinginan hotspot turut dilakukan bagi mengelak nyalaan semula,” katanya.

[Gambar Bomba Sarawak]

Menurut kenyataan itu, operasi di lokasi dijalankan dengan bantuan satu unit jengkaut serta beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dan BBP Kota Sentosa yang masing-masing diketuai PBK I Justin Basik dan PBK I Tiwi Nios.

Selain itu, operasi turut disokong oleh BBP Siburan dan BBP Tabuan Jaya, bersama 14 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok serta dua kontraktor di lokasi.

Sumber air utama diambil daripada pili bomba berhampiran dan sistem relay pumping digunakan bagi memastikan bekalan air tidak terputus sepanjang operasi.

“Antara cabaran utama dihadapi ialah bara api yang sukar dipadam sepenuhnya disebabkan lapisan tayar yang tebal dan padat.

“Operasi overhaul akan diteruskan sehingga tiada lagi tanda-tanda asap atau bara,” jelas kenyataan itu.

JBPM Sarawak menambah, kawasan kejadian akan terus dipantau secara berkala bagi mengelakkan risiko nyalaan semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *