KUCHING, 6 Nov: Seorang wanita maut selepas keretanya merempuh belakang sebuah lori dalam kemalangan di Batu 16, Jalan Kuching–Serian pada awal pagi Khamis (6 Nov).
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, wanita berumur 30 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 4.49 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan digerakkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta merempuh belakang sebuah lori. Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam kereta. Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan Rescue Tool.
“Setelah berjaya dikeluarkan, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak KKM yang hadir dilokasi kejadian untuk pengesahan,” kata kenyataan itu.
Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan bagi memastikan keadaan selamat sebelum beredar dari lokasi.
Operasi disertai lapan anggota bersama satu jentera FRT dan unit EMRS, dengan kerjasama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.