Borneo Games: Tarik tali & menyumpit antara lapan acara dipertandingkan

Acara tradisi seperti menyumpit dan tarik tali antara yang bakal mencuri perhatian pada Borneo Games Kuching 2025 yang berlangsung pada September 2025.

Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kedua-dua acara itu akan dipertandingkan di Padang D, Kompleks Sukan Petra Jaya, Kuching pada 27 hingga 28 September, sekali gus menambah warna warni temasya sukan serantau berkenaan.

Selain itu, enam lagi acara turut dipertandingkan termasuk badminton yang membuka tirai lebih awal pada 24 hingga 28 September di Stadium Perpaduan, serta akuatik renang dari 25 hingga 28 September di Pusat Akuatik Pandelela Rinong.

Tidak ketinggalan, olahraga yang dijadualkan dari 25 hingga 27 September di Stadium Sarawak serta memanah pada tarikh sama di Sarawak Archery Arena.

Acara lain ialah lawn bowls yang berlangsung pada 25 hingga 27 September di Sarawak Lawn Bowls Arena, manakala kemeriahan turut diserikan dengan pertandingan golf VIP pada 27 September di Kelab Golf Sarawak.

Borneo Games yang menghimpunkan pelbagai disiplin sukan bukan sahaja menjadi medan persaingan atlet, malah berperanan sebagai platform mengukuhkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Borneo.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *