Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan seramai 101 warga asing dalam Operasi Penguatkuasaan “Ops Sapu” yang dijalankan di sekitar Kapit pada Ahad (9 Nov).
Menurut JIM Sarawak dalam hantaran di laman sosial rasminya, operasi bermula jam 9.30 pagi hingga 3.45 petang itu melibatkan kekuatan 10 pegawai daripada Pasukan Tindakan Khas serta pegawai-pegawai dari Bahagian Sibu dan Kapit.
“Dalam operasi ini, seramai 189 individu warga asing diperiksa, terdiri daripada 188 lelaki dan seorang wanita. Daripada jumlah itu, 101 individu — 100 lelaki dan seorang wanita — ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” demikian menurut hantaran itu.
Antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan sah, melibatkan pelanggaran Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta berkenaan.
JIM Sarawak memaklumkan, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan itu dalam memperkukuh kawalan ke atas kehadiran warga asing, khususnya di kawasan pedalaman negeri.
