Suami isteri maut dalam nahas jalan raya dekat Sepiring

Keadaan di lokasi kemalangan yang mengorbankan sepasang suami-isteri.

Sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang mereka melanggar belakang sebuah lori rosak di Kilometer 97, Lebuhraya Pan Borneo Sibu–Bintulu, berhampiran Sepiring, Selangau pada malam Ahad (9 Nov).

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, motosikal dinaiki mangsa yang masing-masing berusia 28 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh lori berkenaan yang diletakkan di bahu jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Selangau,” katanya dalam kenyataan pada Isnin (10 Nov).

Katanya, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Rahmat Jalim di talian 011-31627137 atau 084-871222, atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.