102 warga asing ditahan dalam Ops Gegar dan Ops Sapu di Miri dan Tatau

Sebahagian individu yang diperiksa pasukan penguatkuasa JIM Sarawak.

Seramai 102 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak hasil pelaksanaan Ops Gegar dan Ops Sapu yang dijalankan di Miri serta Tatau antara 8 hingga 10 November 2025.

Menurut, JIM Sarawak menerusi hantaran Facebook pada Isnin (10 Nov), seramai 145 individu termasuk warganegara dan warga asing diperiksa di beberapa premis hiburan terkemuka di bandar raya Miri serta rumah pekerja kilang papan di Pekan Tatau, Bintulu.

“Kesemua individu yang ditahan akan melalui proses dokumentasi dan siasatan lanjut bagi tindakan undang-undang,” demikian menurut hantaran tersebut.

Empat majikan turut diberi notis hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.

“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang menggajikan atau melindungi PATI, selaras dengan komitmen jabatan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” kata kenyataan itu lagi.