Seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun mengalami kerugian lebih RM2.26 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang dijalankan secara dalam talian baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu, berkata kejadian itu bermula pada 18 Ogos lalu apabila nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum diperkenalkan kepada pelaburan saham dan IPO atas nama MLK1.
“Mangsa kemudian diarahkan memuat turun satu aplikasi dikenali sebagai MLMA bagi menyertai pelaburan tersebut yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Seterusnya, mangsa telah membuat pembayaran ke dalam 11 akaun bank berbeza secara berperingkat membabitkan 22 transaksi dalam talian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu (12 Nov).
Menurut beliau, mangsa mula menyedari dirinya tertipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan yang dipaparkan dalam akaun aplikasi berjumlah RM39.1 juta, sedangkan wang modal sebenar yang dilaburkan adalah RM2,268,696.90.
Dalam pada itu ACP Alexson berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menerima 100 kes penipuan dengan modus operandi sama antara 1 Januari hingga 12 Oktober 2025, melibatkan kerugian keseluruhan RM22,980,339.38.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat, serta denda,” jelas beliau.
Sehubungan itu, bagi mengelakkan penipuan dalam talian, polis menasihatkan orang ramai untuk:
-
Menyemak senarai entiti berlesen di laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (www.sc.com.my).
-
Jangan mudah percaya pada tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan keuntungan lumayan.
-
Sekiranya sedar telah ditipu dan mengalami kerugian, boleh membuat aduan di talian hotline NSRC di nombor 997 dalam tempoh 24 jam.
-
Melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui panggilan hotline, mesej atau WhatsApp Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak di talian 011-62890089 atau e-mel kjsjkswk@rmp.gov.my.
