Keselamatan awam jadi keutamaan dalam pembinaan ART Kuching – Lee Kim Shin

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, menyeru semua kontraktor yang terlibat dalam projek Kuching Urban Transportation System (KUTS) agar mengutamakan keselamatan awam dan meminimumkan kesulitan kepada pengguna jalan raya serta komuniti berdekatan sepanjang tempoh pembinaan dijalankan.

“Saya tahu para kontraktor berdepan pelbagai cabaran sepanjang kerja pembinaan ini, namun mereka perlu sentiasa mengambil kira kesan aktiviti mereka terhadap pengguna jalan raya dan penduduk di kawasan berhampiran tapak kerja,” katanya.

“Ketika melaksanakan kerja-kerja pembinaan, mereka juga perlu memperkukuh pengurusan trafik dan lebih berhati-hati semasa menjalankan kerja pemindahan utiliti di sepanjang jajaran projek KUTS.”

Dato Sri Lee mengakui antara cabaran utama dihadapi kontraktor ialah utiliti bawah tanah yang tidak dipetakan dengan tepat, justeru kerja-kerja berkaitan perlu dilaksanakan dengan lebih cermat agar perkhidmatan utiliti tidak terganggu teruk.

“Ketika kita berusaha mentransformasikan sistem pengangkutan awam demi masa depan Kuching, adalah penting bagi semua kontraktor untuk mengurangkan sebarang kesulitan kepada orang awam sepanjang tempoh pembinaan,” tambahnya.

Menteri berkenaan menyatakan demikian semasa lawatan kerja ke tapak pembinaan Stesen Pertukaran ART (SR10) di kawasan Simpang Tiga, salah satu stesen utama di bawah pakej Laluan Merah (Red Line) projek KUTS.

Ketibaan beliau disambut oleh wakil Sarawak Metro Sdn Bhd, diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Ts. Mazli Mustaffa, bersama pasukan kontraktor SJCJV, iaitu usaha sama antara Sri Datai Construction (Sarawak) Sdn Bhd, JT JV Builders Sdn Bhd, dan CHEC Construction (M) Sdn Bhd.

SJCJV bertanggungjawab terhadap pembinaan dan penyiapan kerja infrastruktur bagi Laluan Merah sepanjang 12.3 kilometer, dari Kuching Sentral ke Pending.

Dalam lawatan tersebut, Dato Sri Lee diberi taklimat mengenai perkembangan terkini Laluan Merah dan stesen pertukaran yang bakal menjadi pusat sambungan utama antara laluan-laluan KUTS pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa, menyokong seruan Menteri dengan menegaskan bahawa syarikat itu terus bekerjasama rapat dengan kontraktor bagi memperkukuh prosedur pengurusan trafik dan mengurangkan kesulitan kepada orang awam.

“Kami sentiasa menambah baik proses dan prosedur bagi memastikan pengurusan trafik serta kerja pemindahan utiliti semakin efisien. Selain itu, kami turut bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan kerja-kerja pembinaan tidak terlalu menjejaskan komuniti setempat,” kata Mazli.

Projek KUTS, yang diterajui oleh Sarawak Metro Sdn Bhd, merupakan inisiatif utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, bertujuan memodenkan sistem mobiliti bandar dan meningkatkan sambungan pengangkutan awam di Greater Kuching melalui pelaksanaan sistem Transit Pantas Autonomi (Autonomous Rapid Transit – ART).