Lelaki ditahan miliki syabu di ladang sawit di Kabong

Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam operasi khas Op Tapis yang dijalankan pasukan Task Force IPD Saratok di sebuah ladang di Kabong pada Jumaat (14 Nov).

DSP Mathew Manggie

Menurut Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Anak Manggil, operasi berkenaan dijalankan antara jam 9 pagi hingga 11 malam hasil maklumat risikan.

“Pemeriksaan ke atas seorang lelaki berusia 25 tahun menemui dua paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu seberat kira-kira 0.7 gram yang disimpan dalam beg duit di poket seluarnya,” katanya dalam kenyataan.

Suspek yang tidak mempunyai rekod lampau turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine hasil ujian saringan air kencing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.