Seramai 80 orang terjejas selepas tujuh buah rumah dan sebuah kedai perabot di Kampung Wireless. Miri terbakar pada Sabtu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.35 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri, Lopeng dan Lutong digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan sebuah kedai perabot struktur tidak kekal yang musnah 100 peratus serta tujuh rumah, dengan empat daripadanya terbakar sepenuhnya.
“Tiga lagi rumah mengalami kemusnahan antara 15 hingga 20 peratus akibat bahangan,” katanya dalam kenyataan.
Operasi pemadaman diketuai PBK II TBBK I Suhardi Ogeemin, dengan kekuatan 23 anggota dan menggunakan tiga jentera FRT, sebuah Hilux dan sebuah EMRS.
Menurut kenyataan itu, pemadaman dilaksanakan menggunakan aliran 200 kaki daripada jentera BBP Miri dan Lopeng, selain bantuan pam angkut dari kapal milik Seng Heng Shipping untuk proses penyejukan di persisiran Sungai Miri.
“Pihak Sarawak Gas turut dimaklumkan untuk menutup injap utama pembekalan gas ke rumah-rumah terjejas,” jelas kenyataan itu.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah malam.
