Warga emas rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Minah, Sarikei

Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan rentung di kawasan bilik tidur selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Minah, Sarikei awal Ahad (16 Nov), menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Jurucakap berkenaan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.33 tengah malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dan BBP Bintangor digerakkan ke lokasi.

Rumah itu dihuni enam individu, namun hanya lima berada di rumah ketika kejadian dan empat berjaya menyelamatkan diri.

“Seorang lelaki warga emas dipercayai terperangkap dan ditemukan dalam keadaan rentung di bawah timbunan kebakaran di bilik tidur pada jam 2.18 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 3.35 pagi untuk tindakan lanjut.

Kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak kekal berukuran 30 x 50 kaki persegi dan struktur tersebut musnah 100 peratus. Sebuah stor serta dua kenderaan juga hangus terbakar.

Beliau berkata, pasukan melakukan pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan, namun operasi berdepan kesukaran disebabkan tekanan air rendah.

Seramai 15 anggota bomba terlibat dalam operasi, dibantu PDRM dan SESCO.