Sarawak terus memperluas jejak global dalam industri pelancongan apabila Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mengambil bahagian dalam tiga pameran utama di India, United Kingdom dan Thailand, minggu lalu.
Langkah strategik itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai Gateway to Borneo di samping persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Acara pertama melibatkan penyertaan STB di ITB India 2025 di Mumbai pada 2 hingga 4 September, sebelum meneruskan promosi di Celebrasia 2025 di London serta Thai International Travel Fair – North Chapter di Chiang Mai, masing-masing dari 5 hingga 7 September.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh Askor, berkata kehadiran serentak di tiga pasaran utama itu membuktikan jenama Sarawak semakin mendapat tempat di peringkat serantau dan global.
“Dalam masa seminggu, Sarawak berhubung dengan audiens di India, UK dan Thailand. Menerusi tiang utama CANFF — Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Festival — kami buktikan bahawa Sarawak bukan sekadar destinasi, tetapi sebuah pengalaman hidup yang mencerminkan keaslian, kepelbagaian dan kelestarian,” katanya dalam kenyataan bertarikh 7 September 2025.
Di Mumbai, STB menyertai lebih 400 pempamer global dengan kehadiran lebih 8,000 pengunjung perdagangan, sekali gus membuka ruang kerjasama dengan ejen pelancongan, pengendali dan syarikat penerbangan India.
Sharzede berkata, India kekal sebagai pasaran pertumbuhan tinggi dan penglibatan dalam ITB India dijangka mempercepatkan kemasukan Sarawak dalam pakej pelancongan agensi negara itu.
Sementara itu di Chiang Mai, Sarawak mendekati pengguna Thailand secara langsung menerusi persembahan kebudayaan, muzik sape dan sesi rangkaian perniagaan bersama ejen pelancongan.
“Kehadiran di utara Thailand yang dikenal pasti sebagai pasaran baharu memberi momentum kukuh untuk program Fam Trip, kerjasama industri dan liputan media pada masa hadapan,” katanya.

Di London pula, Sarawak menarik perhatian pengunjung Celebrasia 2025 dengan menampilkan enam persembahan budaya selain bengkel kraftangan manik dan anyaman oleh artisan tempatan.
Pameran itu turut menampilkan hasil kerjasama Tourism Malaysia UK dan Majlis Kraf Sarawak yang menekankan warisan pribumi serta nilai pelancongan bertanggungjawab kepada audiens Eropah.
Menurut Sharzede, gabungan tiga pameran berkenaan berjaya memperkukuh keterlihatan antarabangsa Sarawak sebagai destinasi kaya budaya dan sedia untuk perdagangan, sejajar dengan misinya menjadi pilihan utama pelancong global.