Tentera Darat gagalkan cubaan seludup di Serikin, nilai rampasan termasuk kenderaan cecah RM832,500

Tentera Darat Malaysia menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan bawang di kawasan sempadan Serikin pada Isnin (17 Nov) dengan nilai keseluruhan barangan yang cuba diseludup serta kenderaan digunakan sindiket dianggarkan mencecah RM832,500.

Menurut Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD), kejayaan itu dicapai menerusi anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) yang melaksanakan tugas pengawasan sempadan di bawah Operasi KERIS PARANG.

MK PMTTD berkata, pasukan rondaan mengesan pergerakan mencurigakan beberapa lori yang melalui laluan tidak diwartakan dari arah sempadan Indonesia menuju ke kawasan kampung berhampiran pada jam 5.45 petang.

“Hasil tindakan pantas, empat lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan berjaya ditahan. Mereka terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan dan tiga warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Pemeriksaan lanjut menemui 21,600 karton rokok kretek bernilai anggaran RM648,000, serta 900 guni bawang dianggarkan RM31,500.

Turut dirampas empat lori pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan RM153,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM832,500 meliputi barangan yang cuba diseludup dan kenderaan digunakan dalam cubaan itu.

MK PMTTD memaklumkan, semua rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk siasatan lanjut mengikut undang-undang.

“Kejayaan ini sekali gus menutup satu lagi ruang eksploitasi sindiket penyeludupan di sepanjang jajaran sempadan darat Sarawak. Kejayaan ini adalah hasil kesiapsiagaan berterusan anggota di kawasan operasi serta sokongan padu daripada agensi penguatkuasaan lain yang terlibat dalam pengawasan sempadan negara,” kata kenyataan itu.