Dokumen asal penyerahan tentera Jepun 1945 diserahkan kepada TYT Sarawak

Dokumen asal penyerahan tentera Jepun pada 11 September 1945, yang menandakan tamatnya pendudukan Jepun di Borneo diserahkan kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri pada Selasa (9 Sept 2025).

Dokumen berjudul “The 1945 Japanese Surrender” itu diserah oleh Michael Eastick, cucunda Brigadier General Sir Thomas Eastick, panglima tentera bersekutu yang menerima penyerahan rasmi daripada Jeneral Jepun Yamamura di Pending, Kuching, 80 tahun lalu.

Tun Pehin Sri menzahirkan penghargaan atas penyerahan dokumen bersejarah amat berharga itu yang disifatkan memperkukuh khazanah warisan negeri serta menjadi sumber rujukan penting kepada generasi akan datang.

“Dokumen ini melambangkan detik pembebasan Sarawak daripada penjajahan kuasa asing. 

“Saya telah meminta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah meneliti kesesuaian menubuhkan sebuah Muzium Peperangan bagi menempatkan koleksi berkaitan era Perang Dunia Kedua, ancaman komunis dan konfrontasi,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosialnya.

Beliau menambah, muzium berkenaan juga boleh memperingati nama para pejuang dan veteran, selain menghimpunkan bahan seperti buku, jurnal, pakaian tentera, dokumen serta artifak lain yang mampu memperkayakan pemahaman sejarah Sarawak.

Sementara itu, Abdul Karim dalam laman sosialnya menekankan majlis itu bukan sahaja memperingati detik bersejarah 80 tahun lalu, malah menghubungkan kembali warisan perjuangan tentera bersekutu bersama rakyat Sarawak menentang penjajahan Jepun.

Majlis turut disertai delegasi pewaris veteran perang dari Australia, United Kingdom dan Jerman, selain pameran pingat serta bendera lama Kerajaan Sarawak era British yang menambah nilai simbolik kepada acara tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *