Sarawak Energy memperkukuh sokongan terhadap vendor tempatan melalui kerjasama strategik dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan United Overseas Bank (UOB) Malaysia bagi memperluas akses kepada kemudahan pembiayaan.
Dalam kenyataan pada Khamis (20 Nov), Sarawak Energy berkata, dua memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Sarawak Energy dan kedua-dua institusi kewangan itu membolehkan vendor berdaftar mendapatkan pembiayaan bagi modal kerja, perolehan peralatan serta pengembangan perniagaan, sekali gus meningkatkan keupayaan vendor dan memastikan kesinambungan pelaksanaan projek dalam rantaian bekalan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Haji Sharbini Suhaili berkata pendekatan pembangunan vendor mampan syarikat dibina melalui kerjasama kukuh dengan organisasi yang dapat membantu perniagaan tempatan berkembang seiring syarikat.
“Bekerjasama dengan institusi kewangan dan agensi pembangunan seperti PUNB dan UOB membolehkan kami membantu vendor membina kapasiti, mendapatkan pembiayaan dan memperkukuh prestasi penyampaian.
“Ini mencerminkan komitmen kami terhadap Matlamat Pembangunan Lestari 17: Perkongsian Untuk Matlamat serta usaha memperkasa rantaian bekalan yang berdaya tahan dan inklusif,” katanya.
Sarawak Energy melalui Program Pembangunan Vendor (VDP) terus meningkatkan tadbir urus, membangunkan kompetensi teknikal dan menyediakan laluan libat urus jelas untuk vendor. Usaha itu dilengkapkan dengan Program Pembiayaan Vendor melalui kerjasama institusi perbankan.
Komitmen berterusan itu turut menyumbang kepada peningkatan penyertaan vendor tempatan yang mencatat lebih 70 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, dengan sebahagian besar kontrak diberikan kepada perniagaan berasaskan Sarawak.
Sebelum ini, Sarawak Energy turut menjalinkan kerjasama serupa dengan institusi kewangan lain termasuk Bank Islam, RHB Bank, SME Bank dan Ikhtiar Factoring. Kerjasama terbaharu bersama PUNB dan UOB mengembangkan lagi pilihan pembiayaan untuk vendor tempatan serta mengukuhkan ekosistem rantaian bekalan.
Majlis menandatangani MoU berlangsung di Menara Sarawak Energy pada 12 November, dihadiri Sharbini bersama wakil kanan PUNB dan UOB.
