KPDN perkukuh budaya pematuhan perniagaan melalui Program Pasar PATUH

Pelancaran Program Pasar PATUH di Pasar Komuniti Stutong, Kuching.

Program Pasar PATUH dilancarkan sebagai projek rintis Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memperkukuh budaya pematuhan perniagaan di pasar awam, menurut Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Anak Dominic Barin.

Pelancaran program itu berlangsung di Pasar Komuniti Stutong, Kuching pada Jumaat (28 Nov) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Program PATUH yang digerakkan kementerian untuk memastikan ekosistem perdagangan negara kekal kondusif, berintegriti dan telus.

Matthew berkata, Program PATUH berfungsi sebagai payung kepada beberapa inisiatif utama KPDN yang bertujuan membina persekitaran perniagaan tersusun, beretika serta memberi perlindungan optimum kepada pengguna.

Menurutnya, pendekatan kawalan kendiri turut diberi keutamaan bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang perdagangan secara menyeluruh dan berterusan.

“Bagi tahun pertama pelaksanaan, satu inisiatif utama diwujudkan sebagai projek perintis iaitu Pasar PATUH, dengan penekanan kepada penandaan harga jelas, penggunaan alat timbang tepat serta persekitaran perniagaan yang bersih dan teratur di pasar awam,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan rintis itu dimulakan di satu pasar awam di setiap negeri sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.

Matthew menambah, Program PATUH dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran peniaga terhadap kepentingan mematuhi undang-undang, menggalakkan persaingan sihat serta melindungi hak pengguna.

Katanya, pendekatan itu turut menyokong usaha kerajaan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem perdagangan yang adil, beretika dan berdaya saing.

Matthew turut menjelaskan bahawa Program PATUH mencerminkan kerjasama rentas agensi antara kerajaan, industri dan pengguna dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara berimpak tinggi.

Antara rakan strategik yang terlibat ialah Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kuching Selatan, Metrology Corporation Sdn Bhd dan De Metrology Sdn Bhd.

“Program ini juga menjadi wadah pendidikan pengguna melalui penyebaran maklumat yang menggalakkan penglibatan masyarakat dalam memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara telus dan beretika.

“Pematuhan undang-undang bukan sekadar kewajipan, tetapi pelaburan jangka panjang dalam membina kepercayaan pengguna terhadap peniaga,” katanya.

Beliau berkata dengan sokongan berterusan semua pihak, Program PATUH dijangka menjadi pemangkin transformasi perdagangan negara ke arah sistem yang lebih berintegriti, telus dan mesra pengguna.