“Ketika ditemui mereka diam sahaja. Apabila saya bertanya, dia menjawab “ada kakak bawa mereka ke sini“. Itu sahaja mereka beritahu,” demikian cerita seorang penduduk kampung, Mohd Zulkifli, yang menemui dua kanak-kanak di Pasir Pandak, Kuching.
Mereka berdua, masing-masing berusia lima tahun, Humaira Qalesya Mohd Dir dan NurAshafieya Aisyah Abd Nasri Asrafie ditemui di lokasi kira-kira tiga kilometer dari rumah nenek mereka pada awal kira-kira pada jam 9 pagi, Ahad (7 Dis).
Mereka dilaporkan hilang pada pagi Sabtu (6 Dis).
Mohd Zulkifli berkata pada awal pagi Ahad, dia bersama dua orang lagi rakannya memang pergi ke kawasan yang dipanggil Batu Gelingan untuk membantu mencari.
“Ketika ditemui mereka berdua berada atas batu, seorang berdiri seorang lagi tidak berdiri. Kedua-dua mereka tidak berselipar,” katanya.
Dua lagi rakan yang bersama dia adalah Mohd Shahrin Othman dan Sharpfarr Rudaini Shafiee.

Berikut adalah laporan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Kronologi:
Pada jam 09:00 hrs, kedua-dua mangsa dilihat kali terakhir keluar menuju ke rumah nenek mereka yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah untuk bermain bersama sepupu.
Pada jam 11:00 hrs, bapa kepada salah seorang mangsa menyedari bahawa kedua-dua mangsa tidak berada di lokasi permainan. Usaha pencarian awal telah dilakukan oleh keluarga di sekitar kawasan kampung namun mangsa masih gagal ditemui.
Pada jam 16:00 hrs, bapa mangsa bersama penduduk kampung telah memperluas usaha pencarian namun tidak menemui sebarang petunjuk.
Pada jam 18:00 hrs, satu laporan polis telah dibuat bagi mendapatkan bantuan agensi penyelamat dan pihak berkuasa untuk memulakan operasi pencarian secara rasmi.
Catatan (Operasi SAR Hari Kedua) 07.12.2025
08:10:00 hrs – PKO BBP Petra Jaya bergerak ke lokasi kejadian diketuai penyelia pasukan PBK I Syed Mohd Azreen Bin Wan Halami.
08:31:00 hrs – PKO lapor sampai di lokasi kejadian.
09:05:00 hrs – Komander operasi lapor kedua-dua mangsa telah dijumpai selamat oleh penduduk kampung di lokasi Batu Gelingan berhampiran pantai dengan jarak 1km dari PKOB.
09:50:00 hrs – Ambulan dari PBSM Mydin sampai di lokasi. Kedua-dua mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
10:06:00 hrs – Komander operasi lapor operasi ditamatkan sepenuhnya dan PKO bertolak balik ke balai.
