Seorang lelaki berumur 31 tahun maut selepas tersepit dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dihempap mesin cerucuk di Kampung Peruan, Jalan Long Tuma, Lawas, petang Ahad.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.55 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bertindak melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas road traffic accident (RTA) bagi memudahkan kerja-kerja pemotongan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” demikian menurut PGO dalam kenyataan.
Menurut laporan operasi, sebaik tiba, pasukan mendapati sebuah mesin cerucuk (drilling rig) menghempap kenderaan pikap dengan mangsa masih tersepit di dalamnya.
Operasi diketuai PBK II Shahnizam Japaduli dengan enam anggota, serta turut melibatkan satu jentera LFRT, satu unit EMRS dan sebuah kenderaan jenis Navara. PDRM turut berada di lokasi.