Tiga wanita berusia lingkungan 30-an diselamatkan pasukan bomba selepas dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti mendaki di kawasan hutan Canada Hill, Miri, petang Ahad (6 Dis).
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), panggilan kecemasan diterima pada jam 6.28 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa kejadian disedari selepas rakan kepada salah seorang mangsa mendapati ketiga-tiga wanita terbabit tidak muncul di checkpoint keluar seperti sepatutnya.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mengesahkan ketiga-tiga mangsa sesat dalam kawasan hutan sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
“PKO bertindak mengiringi kesemua mangsa turun ke checkpoint pertama dan mereka tiba dalam keadaan selamat,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada 7.37 malam.
Seramai enam anggota terlibat dalam operasi itu bersama satu jentera FRT dan sebuah EMRS.
