Sarawak mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila Sarawak Delta Geopark (SDGp) sah diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark semasa Mesyuarat Majlis ke-10 UNESCO Global Geoparks Council yang berlangsung di Temuco, Chile, pada 8 September 2025.
Sarawak Forestry Corporation (SFC) memaklumkan, pengiktirafan itu merupakan kejayaan penting buat Sarawak dan Malaysia kerana menampilkan kekayaan biodiversiti serta keunikan geologi negeri ini di peringkat antarabangsa.
Menurut SFC, kejayaan itu didukung oleh 11 Totally Protected Areas (TPA) di bawah pengurusannya yang menjadi tulang belakang kepada Sarawak Delta Geopark.
Antara kawasan tersebut ialah Taman Negara Talang Satang, Taman Negara Santubong, Taman Negara Bako, Rizab Alam Selabat Mudflats, Rizab Alam Sama Jaya, Rizab Alam Semenggoh, Taman Negara Bungo Range, Taman Negara Dered Krian, Rizab Alam Gua Angin dan Gua Pari-Pari, Taman Negara Kuching Wetland serta Tempat Perlindungan Pulau Tukong Ara-Banun.
“Kesemua kawasan ini memiliki nilai geologi, ekologi dan budaya yang tersendiri, sekali gus memperkukuh asas Sarawak Delta Geopark untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa,” jelas SFC menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa (9 Sept 2025).
SFC menegaskan pengiktirafan tersebut membuktikan komitmen Sarawak dalam memperkukuh pengurusan taman dan pemuliharaan biodiversiti, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS).
Pengiktirafan itu juga mencerminkan keharmonian antara warisan geologi, kekayaan biodiversiti dan identiti budaya masyarakat setempat yang diiktiraf oleh badan dunia.
Menurut SFC, usaha melindungi kawasan berkenaan tidak akan berhenti dengan pengiktirafan itu sahaja, sebaliknya akan terus diperkukuh dengan pendekatan bersepadu.
“Fokus kami ialah mempertingkat pemuliharaan, pendidikan, penglibatan komuniti dan geopelancongan lestari bagi memastikan Sarawak Delta Geopark kekal sebagai warisan hidup untuk generasi masa depan,” kata SFC.