Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Siang-Siang Laut, Terusan, Lawas memasuki hari kedua hari ini (Rabu-10 Sept) namun mangsa belum ditemui.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak dalam kenyataan berkata, pencarian sejak pagi diperluas sehingga radius dua kilometer ke hilir dan satu kilometer ke hulu sungai dengan kaedah ‘surface searching’.
“Pasukan pencarian melibatkan bomba, PDRM, APM, Perhilitan, Pejabat Daerah Lawas serta penduduk kampung. Namun sehingga petang ini (Rabu) pencarian masih tidak menemui sebarang petunjuk,” jelas kenyataan itu.

Menurut PGO, paras air yang surut hari ini sedikit membantu operasi, namun faktor arus sungai masih menjadi cabaran utama pasukan SAR.
Mangsa, Tuah Lamat, 80, dilaporkan hilang selepas mandi di jambatan sungai berhampiran rumahnya petang Selasa (9 Sept 2025), dengan hanya tuala dan selipar ditemui di lokasi.
Operasi SAR ditangguhkan pada jam 5.10 petang atas arahan polis dan akan disambung semula pada Khamis.