Seramai 41 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dari 4 hingga 6 Januari 2026.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga anak Chabu, berkata operasi khas selama tiga hari itu bertujuan mengekang aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan Kuching.
Menurut beliau, daripada jumlah tangkapan itu, lima individu ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dua individu di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan dua individu di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, manakala 32 individu lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Sepanjang operasi ini, polis turut merampas 121.02 gram methamphetamine, 248.10 gram serbuk MDMA serta 9.80 gram pil Erimin 5 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM15,532,” katanya dalam kenyataan pada Rabu (7 Jan).
ACP Alexson berkata, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam, sambil menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti dadah.
Beliau turut mengingatkan bahawa memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti pengedaran dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang, manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menyalurkannya melalui Hotline JSJN di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.