Rampasan dadah RM25 juta, JSJN Kuching catat peningkatan pada 2025

ACP Alexson Naga Chabu pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching. Gambar IPD Kuching

Prestasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuching dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025 telah merekodkan sebanyak 2,480 tangkapan merangkumi 128 orang pengedar dadah, 308 mereka yang didapati memiliki dadah dan 2,044 penagih dadah.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata ini adalah peningkatan sebanyak 292 orang ditangkap bersamaan 13 peratus daripada 2,188 orang ditangkap dalam tempoh sama tahun 2024.

“Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai jenis dadah dengan nilai pasaran RM25 juta telah berjaya dirampas. Ini adalah peningkatan sebanyak RM20 juta berbanding RM5 juta pada tempoh sama tahun 2024,” katanya pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching bagi bulan Januari 2026 pada Jumaat.

Menurut beliau, di antara rampasan dadah tertinggi adalah serbuk ecstasy (80.39 kilogram), ganja (9.92 kilogram), syabu (6.40 kilogram), ketamin (481.49 gram), Erimin 5 (212.21 gram) dan pil ecstasy (63.95 gram).