Polis menyita 12 buah motosikal dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar bandar raya Miri pada Sabtu lalu.
Ibu Pejabat Polis Daerah Miri menerusi Facebook Polis Daerah Miri memaklumkan operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu dilaksanakan dari jam 11 malam hingga 3 pagi, meliputi kawasan Tanjong Lobang, Piasau, Marina, Tudan serta Jalan Miri-Bypass.
“Dalam operasi berkenaan, seramai 18 lelaki bersama 15 buah motosikal diperiksa,” kata hantaran itu pada Isnin (26 Jan 2026).
Sebanyak 34 keping saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) P 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala 12 motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti samseng jalanan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal agar sentiasa memandu atau menunggang secara berhemah, berhati-hati di jalan raya dan tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan.
Nasihat beliau lagi agar tidak mengubahsuai struktur asal kenderaan dan tidak berkumpul di tepi jalan sehingga menyebabkan kesesakan dan menghalang lalu lintas serta membuat bunyi bising yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Sekiranya didapati bersalah Ibu bapa, pemilik dan penjaga juga boleh dituduh di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) jika membenarkan seseorang memandu atau menunggang tanpa mempunyai lesen memandu yang sah.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
