Daripada dapur tradisi yang diwarisi turun-temurun kepada pengiktirafan bertaraf dunia, Kuching kini melangkah setapak lagi ke hadapan apabila dipilih sebagai tuan rumah Perhimpunan Tahunan Ketiga Rangkaian Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO, yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos 2026.
Pemilihan itu bukan sekadar pengumuman penganjuran acara antarabangsa, sebaliknya menjadi simbol pengiktirafan terhadap identiti, warisan dan kepimpinan Kuching dalam mengangkat gastronomi sebagai teras budaya dan pembangunan pelancongan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata penganjuran perhimpunan berprestij itu mencerminkan kedudukan Kuching yang semakin kukuh di peta gastronomi dunia.
“Ini bukan sekadar sebuah persidangan antarabangsa. Ia adalah satu sambutan terhadap identiti kita, warisan kita dan kedudukan Kuching di peringkat global,” katanya dalam sidang media bagi mengumumkan Perhimpunan tersebut di Kuching pada Selasa (27 Jan 2026).
Kuching mencipta sejarah pada 2021 apabila menjadi bandar pertama di Malaysia dianugerahkan status Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO, satu pencapaian yang menurut Abdul Karim lahir daripada usaha kolektif pelbagai lapisan masyarakat.
“Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi cef, petani, pengeluar, penggiat seni kulinari serta komuniti yang memelihara dan mengangkat kekayaan budaya makanan Sarawak,” ujarnya.
Kini, dalam rangkaian yang merangkumi 63 bandar dari 35 negara di bawah naungan UNESCO, pemilihan Kuching sebagai tuan rumah Perhimpunan Tahunan disifatkan sebagai pengesahan terhadap kredibiliti dan kepimpinan bandar raya ini dalam bidang gastronomi dan pelancongan budaya.
Perhimpunan itu akan berfungsi sebagai mesyuarat kerja rasmi Rangkaian Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO, menghimpunkan bandar-bandar ahli untuk bertukar idea, memperkukuh kerjasama serta membincangkan hala tuju masa depan berkaitan pembangunan kreatif dan sistem makanan mampan.
Menurut Abdul Karim, keunikan gastronomi Sarawak berpaksikan kekayaan biodiversiti dan kepelbagaian budaya, menjadikannya sejajar dengan nilai yang diperjuangkan UNESCO.
“Masakan kita dibentuk oleh alam semula jadi, dipandu prinsip kelestarian dan berteraskan penghormatan terhadap tradisi serta komuniti. Nilai-nilai inilah yang menjadikan Kuching tuan rumah yang amat bermakna,” katanya.
Sepanjang empat hari penganjuran, sekitar 170 delegasi antarabangsa dari Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO dijangka hadir, selain penyertaan peserta tempatan dan serantau. Ribuan pengunjung juga dijangka membanjiri bandar raya ini menerusi program awam dan aktiviti festival.
Antara tumpuan utama ialah makan malam amal Plate for Purpose, yang menyatukan 10 cef antarabangsa dan 10 cef tempatan Sarawak, serta Pavilion UCCN yang memberi peluang kepada orang ramai merasai hidangan daripada 20 bandar kreatif gastronomi UNESCO di satu lokasi.
Bagi Abdul Karim, perhimpunan ini membawa makna yang jauh lebih besar daripada acara bermusim.
“Ia meletakkan Kuching sebagai bandar kreatif terkemuka di Asia Tenggara, memperkukuh profil antarabangsa Sarawak, merancakkan pelancongan budaya dan membuka laluan kepada kerjasama global jangka panjang,” katanya.
