Dari ‘teparok’ menjadi baja, dari masalah menjadi rezeki

Masalah lambakan ‘teparok’ (bahasa Melanau Dalat) atau keladi bunting yang sekian lama menjejaskan Batang Oya, Dalat kini menjadi sumber ekonomi baharu menerusi projek pemprosesan baja organik dan makanan ternakan menggunakan teknologi Black Soldier Fly (BSF).

ADUN Dalat merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata projek yang dilaksanakan menerusi Koperasi Dalat Lestari Berhad itu membuktikan bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sisa boleh ditukar kepada produk bernilai tinggi.

Beliau berkata, projek berkenaan membawa tema From Waste to Wealth dengan slogan Dari Terparok Menjadi Baja, Dari Punca Masalah Menjadi Punca Rezeki.

“Terparok yang selama ini menjadi masalah kepada penduduk setempat kini berjaya ditukar menjadi sumber pendapatan menerusi penghasilan baja organik dan makanan ternakan.

“Ia bukan sahaja membantu mengurangkan kesan pencemaran dan halangan di sungai, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-Pelancaran Pusat Pemprosesan Baja Organik dan Makanan Ternakan Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.

Teparok yang tumbuh liar di sepanjang sungai.

Fatimah berkata, usaha menangani isu teparok di Batang Oya telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu termasuk melalui kerja pembersihan sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Katanya, antara 2020 hingga 2022, kerajaan membelanjakan lebih RM837,000 bagi kerja pembersihan sungai yang melibatkan kawasan sepanjang 23.5 kilometer dengan ribuan tan teparok berjaya dikeluarkan.

Menurut beliau, pada 28 November 2020, program gotong-royong perdana pembersihan terparok di sepanjang Batang Oya turut dilaksanakan secara serentak membabitkan 400 peserta dari 19 kampung.

“Bagaimanapun, pembersihan semata-mata bukan penyelesaian jangka panjang. Justeru, pendekatan baharu diperkenalkan dengan menjadikan terparok sebagai bahan mentah untuk menghasilkan baja organik dan makanan ternakan,” katanya.

Beliau berkata, idea projek berkenaan mula diusulkan kepada PETRONAS Sarawak pada Disember 2021 sebelum permohonan rasmi dikemukakan pada Februari 2022.

Katanya, pada 11 April 2023, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) meluluskan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM2.25 juta bagi pelaksanaan Projek Komuniti Pemprosesan Baja Organik dan Pembiakan Askar Lalat Hitam di Dalat.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu melalui beberapa fasa termasuk penubuhan koperasi, latihan keusahawanan, pembinaan kemudahan pemprosesan dan operasi awal sebelum mula beroperasi sepenuhnya pada Mei tahun lalu.

Beliau berkata, sehingga Mei lalu, sebanyak 4,685 kilogram teparok berjaya dikutip dengan penduduk yang terlibat menerima bayaran berdasarkan jumlah kutipan yang dihantar ke pusat pemprosesan.

Dalam tempoh sama, pusat berkenaan turut menghasilkan dan menjual baja organik serta makanan ternakan berasaskan BSF dengan hasil jualan mencecah lebih RM4,500.

“Projek ini membuktikan bahawa masalah alam sekitar boleh ditukar menjadi peluang ekonomi jika diurus secara kreatif dan mampan.

“Ia juga sejajar dengan usaha memperkasakan komuniti setempat melalui ekonomi kitaran yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Seng Ling Sawmill Company Sdn Bhd yang membenarkan Koperasi Dalat Lestari Berhad menggunakan tanah seluas satu ekar sebagai tapak projek selama lima tahun pada kadar sewaan RM1 sebulan.

Beliau berkata, bagi penyelesaian jangka panjang terhadap isu terparok di Batang Oya, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menjalankan kajian menyeluruh bagi mencari kaedah yang lebih berkesan dan efisien.