Petronas hari ini (19 Jun 2026) melancarkan Pusat Pemprosesan Baja Organik dan Makana Ternakan di Dalat sebagai inisiatif pembangunan komuniti luar bandar yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Sarawak.
Menurut kenyataan Petronas, projek berasaskan komuniti itu memperkenalkan pendekatan inovatif yang menukarkan sisa organik kepada sumber bernilai tinggi, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.
“Inisiatif berkenaan memanfaatkan penggunaan BSF, iaitu spesies serangga yang berupaya menukar sisa organik kepada biomassa bernilai menerusi proses biokonversi.
“Melalui teknologi itu, bahan organik seperti keladi bunting yang dikutip dari Batang Oya, sisa makanan dari sekolah dan restoran serta sisa pemprosesan sagu diproses menjadi baja organik dan makanan ternakan,” kata kenyataan itu.
Pendekatan itu bukan sahaja membantu menangani isu lambakan keladi bunting yang menjejaskan aliran Batang Oya, malah menyokong amalan ekonomi kitaran menerusi pemulihan sumber secara lebih cekap dan mesra alam.
Dalam kenyataan yang sama, Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu, berkata pihaknya percaya kemajuan bermakna hanya dapat dicapai melalui kerjasama strategik dan penciptaan nilai bersama.

“Projek komuniti di Dalat ini mencerminkan komitmen Petronas dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat sambil memacu penyelesaian mampan bagi menangani cabaran setempat.
“Dengan menukar sisa organik kepada sumber bernilai, inisiatif ini membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti luar bandar selain menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan ekosistem ekonomi kitaran di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan turut memberi penekanan kepada penglibatan komuniti serta pembangunan kapasiti penduduk bagi memastikan manfaat yang dijana dapat dinikmati secara berterusan.
Pelaksanaan inisiatif itu juga mencerminkan komitmen bersama Petronas dan kerajaan Sarawak dalam memperkasa komuniti, memperkukuh pemeliharaan alam sekitar serta menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 ke arah menjadikan Sarawak negeri yang makmur, inklusif dan mampan.
