Dua pelajar tahun pertama Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa, i-CATS University College mencipta sejarah apabila muncul juara NAICO Malaysia Net Zero Challenge 2026, sekali gus menjadi anak Sarawak pertama meraih tempat pertama dalam pertandingan berprestij itu.
Menurut i-CATS University College, kejayaan membanggakan itu diraih Lai Neng Yaw dan Vincent Law Hock Chun menerusi penyertaan dalam kategori Net Zero Strategy, sekali gus mengharumkan nama i-CATS dan Sarawak di peringkat nasional dalam bidang aeroangkasa lestari.
Pertandingan anjuran National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) itu berlangsung sempena MyAero Summit 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor, dari 25 hingga 27 Jun 2026.
Sebagai juara, pasangan pelajar program Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.
“Mereka berjaya memikat perhatian panel juri menerusi pembangunan NAICO ESG Aerospace Validator, iaitu perisian inovatif yang direka bagi menilai dan mengesahkan pematuhan aspek Environmental, Social and Governance (ESG) dalam sektor aeroangkasa.
“Inovasi berkenaan dilihat selari dengan agenda nasional ke arah mencapai sasaran sifar bersih (Net Zero) dalam industri penerbangan menerusi pengukuhan pengukuran kelestarian, akauntabiliti ESG serta amalan industri aeroangkasa yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan,” demikian menurut i-CATS dalam kenyataan, hari ini (28 Jun).
Pencapaian itu lebih bermakna memandangkan kedua-dua pelajar terbabit masih berada pada tahun pertama pengajian, namun berjaya mempamerkan kemampuan teknikal, pemikiran strategik, kreativiti serta kefahaman industri yang tinggi.
Kejayaan mereka turut mencerminkan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan aplikasi serta bimbingan yang diterapkan oleh Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa i-CATS.
Pasukan berkenaan dibimbing Dr Nurul Zubaidah Zaki, yang memainkan peranan penting dalam memberi panduan, penyeliaan dan sokongan sepanjang pembangunan cadangan inovasi itu.
i-CATS dalam kenyataannya berkata, pencapaian berkenaan membuktikan komitmen institusi itu dalam melahirkan bakat muda Sarawak yang mampu menyumbang kepada agenda nasional, pembangunan teknologi baharu serta masa depan industri aeroangkasa hijau.
Menurut kenyataan itu, i-CATS akan terus memperkasa pembangunan bakat muda menerusi lebih banyak peluang dalam bidang aeroangkasa, penyelidikan dan inovasi bagi melahirkan generasi yang bersedia memacu kemajuan teknologi serta industri negara.
“I-CATS merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Lai Neng Yaw, Vincent Law Hock Chun dan Dr Nurul Zubaidah Zaki atas pencapaian yang amat membanggakan ini.
“Tahniah juga diucapkan kepada anak-anak Sarawak yang telah mengharumkan nama i-CATS dan Sarawak di persada nasional,” menurut kenyataan itu.
