Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) sekali lagi menghantar sekumpulan kakitangannya ke China pada Isnin (6 Julai 2026) bagi mengikuti program penempatan industri di bawah Program Pembangunan Peningkatan Sosioekonomi (SEED).
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa berkata, program penempatan industri kali ini di CRRC Times Hunan Signal & Communication Co. Ltd. di Changsha, Wilayah Hunan, mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk menghantar lebih ramai jurutera muda ke China bagi memperoleh pengalaman secara langsung serta pengetahuan khusus dalam sistem isyarat dan kawalan.
“Jurutera-jurutera muda ini akan bertanggungjawab menguruskan sistem isyarat dan kawalan apabila projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) memasuki fasa operasi dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, seperti program penempatan industri sebelum ini, program kali ini memberi peluang kepada peserta mempelajari teknologi secara langsung daripada pengeluar serta rakan kongsi luar negara.
Menurutnya, program penempatan industri terkini sebelum ini di bawah Program SEED telah diadakan pada April dan Mei lalu, apabila peserta menjalani latihan selama sebulan di kilang Sichuan CRRC SDIG Rail Transit Co. Ltd. di Yibin, Wilayah Sichuan.
Mazli turut merakamkan penghargaan kepada EPR Mobilus GR JV Sdn Bhd (EMGJV), kontraktor Pakej Sistem 1 Projek KUTS, atas sokongan berterusan dalam menjayakan program penempatan industri di bawah Program SEED.
Bagi program kali ini, lima kakitangan yang terdiri daripada empat jurutera dan seorang eksekutif berlepas ke Changsha pada 6 Julai untuk mengikuti program selama sebulan sehingga 7 Ogos.
Mereka ialah:
* Nur Nafisa Binti Abdullah (Jurutera Sistem)
* Syammil Bin Mohd Ishak (Jurutera Projek)
* Farid Hamizan Bin Roslan (Jurutera Projek – Isyarat, Kawalan Tren dan Pintu Platform Automatik)
* Mohamad Ariffin Bin Mohamad Ali Rahman (Eksekutif Pusat Kawalan Operasi)
* Afiqah Binti Mohammed Yunus (Jurutera Sistem Isyarat dan Komunikasi).
Program penempatan industri ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Sarawak Metro membangunkan jurutera muda dan kakitangannya, memindahkan ilmu serta teknologi kepada bakat tempatan, selain melahirkan barisan pemimpin generasi baharu bagi industri pengangkutan awam.
Inisiatif itu juga memberi peserta pengalaman praktikal yang berharga, meningkatkan kecekapan teknikal serta memperkukuh pemahaman mereka terhadap aliran kerja kejuruteraan, termasuk dokumentasi dan amalan jaminan kualiti.
Mazli berkata, Sarawak Metro sentiasa mengiktiraf kepentingan membudayakan pembelajaran berterusan dan inovasi.
Sejak inisiatif penempatan industri di bawah Program SEED diperkenalkan pada 2022, ramai kakitangan serta bakat muda telah dihantar ke China untuk mengikuti program tersebut.
Sarawak Metro akan terus melaksanakan inisiatif itu sebagai sebahagian daripada usaha membina tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan profesional bagi memperkukuh industri pengangkutan awam.