Tugu peringatan pembebasan Sarawak dari penjajahan Jepun dirasmikan

Sarawak hari ini (11 Sept 2025) melakar sejarah apabila Tugu Pembebasan Sarawak dari Penjajahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua dirasmikan di Pending Point bersempena dengan ulang tahun ke-80 penyerahan tentera Jepun di negeri ini.

Upacara itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, yang menegaskan bahawa monumen tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap keberanian tentera Bersekutu dan pengorbanan rakyat tempatan.

“Monumen ini adalah janji kita bahawa keberanian mereka tidak akan dilupakan. Kebebasan bukan datang begitu sahaja, ia menuntut keberanian untuk mendapatkannya, kebijaksanaan untuk memeliharanya, dan kesatuan untuk melindunginya bagi generasi akan datang,” katanya pada majlis tersebut di Pending Point, Kuching.

Pada 11 September 1945, Brigadier-General Thomas Eastick dari tentera Australia menerima penyerahan tanpa syarat daripada Jeneral Hiyoe Yamamura di atas kapal HMAS Kapunda, sekali gus menamatkan lebih tiga tahun setengah penderitaan rakyat Sarawak di bawah pendudukan Jepun.

Majlis hari ini dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan, diikuti ucapan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng serta wakil Pesuruhjaya Tinggi Australia, Simon Fellows.

Antara acara utama ialah penyerahan replika dokumen penyerahan tentera Jepun, upacara perasmian tugu, meletak kalungan bunga serta penyampaian mesej khas oleh Majlis Kanak-kanak Kuching Selatan bagi memperingati pengorbanan wira terdahulu.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dr. Sim menambah, pembinaan tugu oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan bukan sahaja melestarikan sejarah tetapi juga memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan serta pendidikan generasi akan datang.

“Upacara minggu ini, termasuk pementasan semula di Sim Kheng Hong Wharf dan peringatan di Batu Lintang, bukan sekadar acara seremonial.

“Ia adalah pengajaran sejarah dan tanggungjawab agar generasi muda memahami harga sebenar sebuah kebebasan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *