Kepala seorang lelaki warga emas yang dipercayai dibaham buaya ketika mandi di Sungai Kampung Siang-Siang Laut, Terusan, Lawas pada Selasa lalu, ditemukan oleh penduduk kampung lewat malam Rabu (10 Sept).
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan berkata, penemuan itu dibuat kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Menurut kenyataan itu, operasi SAR hari kedua bermula jam 7 pagi hari ini (11 Sept) dengan penyertaan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sarawak Forestry Corporation (SFC).
“Operasi ditumpukan di kawasan kepala mangsa ditemui,” kata kenyataan PGO JBPM Sarawak.

Terdahulu, mangsa Tuah Lamat, 80, dilaporkan tidak pulang selepas mandi di jambatan sungai berhampiran rumahnya kira-kira jam 5.30 petang, 9 September lalu.
Ahli keluarga hanya menemui tuala dan selipar dipercayai milik mangsa di lokasi berkenaan sebelum penduduk kampung melakukan pencarian awal menggunakan perahu namun gagal.
Seramai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas dengan sebuah lori Isuzu dan sebuah bot penyelamat digerakkan bagi operasi SAR yang masih diteruskan bagi menjejak anggota badan lain mangsa.