Membina jurulatih lebih berkualiti demi mencorak masa depan bola sepak Sarawak

Setiap pemain bola sepak yang berjaya bermula dengan bimbingan seorang jurulatih.

Jauh sebelum seseorang pemain bola sepak mencipta nama di atas padang, terdapat seorang jurulatih yang bekerja tanpa mengenal penat di sebalik tabir.

Jurulatih akar umbi inilah yang sering menjadi individu pertama mengenal pasti bakat, membimbing pemain muda sepanjang fasa awal perkembangan mereka, di samping membentuk keyakinan diri, disiplin dan nilai murni sebagai persediaan menghadapi kejohanan besar serta membuka peluang untuk menarik perhatian pencari bakat.

Ketika Sarawak terus memperkukuh ekosistem pembangunan bola sepak serta mewujudkan laluan kepada bakat tempatan untuk berkembang, usaha melahirkan jurulatih yang berkualiti kini menjadi sama penting dengan pembangunan pemain.

Menyedari peranan penting individu di sebalik kejayaan pemain, PETRONAS memperkukuh keupayaan jurulatih akar umbi menerusi Inisiatif Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi, yang diadakan bersempena Kejohanan Tertutup Bola Sepak Belia PETRONAS (PETRONAS Youth Football Closed Tournament, PYFCT) 2026.

Bengkel selama dua hari yang berlangsung pada 10 hingga 11 Julai 2026 itu menghimpunkan jurulatih akar umbi, pengendali akademi serta pentadbir bola sepak dari seluruh Sarawak bagi meningkatkan pengetahuan teknikal, pendekatan kejurulatihan dan keupayaan pengurusan bola sepak.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen PETRONAS dalam memperkasa pembangunan bola sepak akar umbi serta menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan menerusi ekosistem bola sepak yang mampan.

Bagi kebanyakan peserta, program berkenaan memberi pendedahan praktikal yang boleh terus diaplikasikan di akademi masing-masing.

Jurulatih Axis Football Academy, Nizam Mahmud.

Jurulatih Axis Football Academy, Nizam Mahmud, menyifatkan bengkel itu sebagai platform pembelajaran yang amat bernilai kepada jurulatih akar umbi.

“Kami memperoleh pelbagai ilmu berguna mengenai pembangunan bola sepak di Sarawak, khususnya menerusi perkongsian (pengurus bola sepak dan bekas pemain bola sepak) Datuk Ong Kim Swee. Kami akan membawa pulang ilmu ini dan berkongsinya dengan jurulatih akar umbi lain di Kuching serta seluruh Sarawak,” katanya.

Berpengalaman membimbing pemain muda sejak sedekad lalu, Nizam berkata usaha membentuk kanak-kanak menjadi pemain yang berkualiti sememangnya berdepan pelbagai cabaran.

Beliau percaya proses pembelajaran secara berterusan membolehkan jurulatih menambah baik pendekatan latihan serta memberi sokongan yang lebih berkesan kepada pemain muda mengikut setiap peringkat perkembangan mereka.

Ong adalah antara penceramah jemputan yang berkongsi pandangan mengenai asas pengurusan akademi bola sepak sepanjang bengkel tersebut.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari, Datuk Ong Kim Swee, berkata pembangunan pemain bermula di peringkat akar umbi serta memerlukan kesabaran, perancangan yang tersusun dan pendekatan latihan yang bersesuaian mengikut usia.

Beliau menegaskan bahawa seseorang kanak-kanak tidak seharusnya dinilai hanya selepas menjalani latihan selama satu atau dua tahun.

Sebaliknya, mereka memerlukan masa yang mencukupi, latihan berkualiti serta pendedahan berterusan dalam perlawanan bagi mencapai potensi sebenar.

“Pendekatan latihan perlu disesuaikan mengikut kumpulan umur. Cara kita melatih kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun berbeza dengan mereka yang berumur sembilan hingga 12 tahun. Apabila jurulatih memahami setiap peringkat ini dengan lebih baik, mereka mampu membangunkan pemain secara lebih berkesan dan menyediakan mereka untuk bersaing pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Ong turut menjelaskan bahawa laluan pembangunan yang tersusun memberi peluang kepada setiap pemain muda berkembang mengikut kadar yang sesuai sebelum melangkah ke akademi elit.

Menurutnya, sama penting ialah memastikan jurulatih akar umbi memahami bagaimana kanak-kanak belajar dan berkembang mengikut usia, berbanding menggunakan pendekatan latihan yang sama terhadap semua pemain.

Jalil Ramli ialah bekas pemain dan jurulatih bola sepak Sarawak yang memainkan peranan penting dalam pembangunan bola sepak Sarawak.

Dalam pada itu, bekas pemain dan jurulatih Sarawak, Jalil Rambli, berkata bengkel berkenaan mampu mewujudkan tahap keseragaman yang lebih baik dalam kalangan jurulatih akar umbi di seluruh negeri.

Beliau berkata, jurulatih perlu mengamalkan falsafah kejurulatihan yang sama supaya pemain muda menerima bimbingan yang tersusun dan konsisten tanpa mengira akademi yang mereka sertai.

Menurutnya, walaupun kemahiran teknikal seperti kawalan bola dan hantaran kekal penting, aspek sikap, disiplin serta kesediaan untuk terus belajar juga tidak kurang pentingnya.

Jalil turut menekankan peranan besar ibu bapa dalam memastikan anak-anak dapat menghadiri latihan secara konsisten dan terus meningkatkan kemampuan mereka.

“Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan bola sepak akar umbi. Tanpa sokongan mereka, sukar untuk pemain muda menghadiri latihan secara konsisten dan terus berkembang,” tegasnya.

Ketika Sarawak terus memperkukuh ekosistem bola sepak akar umbi, jurulatih akan kekal menjadi tonggak utama dalam membentuk generasi pemain masa depan.

Keupayaan mereka membimbing, memberi inspirasi dan menyokong pemain muda sejak peringkat awal akan menentukan sejauh mana bakat-bakat berpotensi mampu berkembang pada masa hadapan.

Menerusi Inisiatif Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi, PETRONAS melabur dalam pembangunan insan yang menjadi tulang belakang perjalanan setiap pemain muda.

Dengan menyediakan peluang kepada jurulatih untuk meningkatkan keupayaan, berkongsi pengetahuan serta mengamalkan amalan terbaik, syarikat tenaga itu berharap dapat menyumbang kepada pembentukan laluan pembangunan bola sepak yang lebih kukuh, sekali gus menyokong aspirasi jangka panjang Sarawak untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan.