30 Alumni UNIMAS Zahir Semangat Kebanggaan dan Kebersamaan Menerusi Perarakan Alumni Sempena Konvokesyen Ke-30

Seramai 30 orang alumni Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengambil bahagian dalam Perarakan Alumni sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30, Sidang 1 pada 2 November 2026.

Perarakan ini merupakan salah satu subprogram di bawah Alumni Back 2 Campus Festival (AB2C) dengan Cik Farahdiina Hurinhusna binti Saifulbahri dan Saudara Mohamad Azzimizee bin Din bertindak sebagai pepandu perarakan alumni ini.

                              


Mereka mewakili lapan buah fakulti dengan latar belakang akademik, bidang kepakaran dan pengalaman profesional yang pelbagai, dimana merangkumi alumni daripada pelbagai generasi, bermula dengan Saudara Ahmad Lokman Zabri, graduan tahun 1998 daripada Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), sehingga Saudara Mohd. Zul Haziq bin Mohd. Fadzli, graduan tahun 2023 daripada fakulti yang sama. Julat tempoh graduasi selama 25 tahun ini memperlihatkan keterlibatan alumni merentas generasi dalam meraikan perjalanan dan perkembangan institusi.

Majoriti peserta merupakan anak Sarawak, iaitu seramai 24 orang, diikuti Selangor dengan dua orang peserta. Sementara itu, Sabah, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing diwakili oleh seorang alumni.

Berdasarkan perwakilan fakulti, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM) mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi, iaitu sembilan orang alumni. Ini diikuti oleh Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) dengan empat orang, serta Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) dengan enam orang. Seterusnya, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP) masing-masing diwakili oleh tiga orang alumni serta dua orang wakil daripada Fakulti Kejuruteraan (FK). Manakala Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) diwakili oleh dua orang dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) oleh seorang alumni. Kepelbagaian perwakilan ini menggambarkan keluasan disiplin ilmu yang menjadi asas kepada pembentukan graduan UNIMAS.

Penyertaan ini bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan, malah menzahirkan rasa bangga sebagai sebahagian daripada keluarga besar UNIMAS. Kehadiran para alumni turut menjadi simbol penghargaan terhadap universiti yang pernah menjadi tempat menimba ilmu serta membina perjalanan dan kejayaan masing-masing.

Admin Sarawak Edition, alumni dari Fakulti Kejuruteraan (FK) juga merupakan salah seorang yang turut serta di dalam perarakan tersebut. Semoga semangat kesetiaan, kebanggaan dan hubungan erat antara alumni dengan universiti terus subur sepanjang masa.