Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 29 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tanpa bertanding selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 selesai hari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato Sri Ramlan Harun, berkata susulan itu, hanya 53 kerusi DUN akan dipertandingkan pada pilihan raya kali ini.
“Sehubungan dengan itu, pengundi di DUN berkenaan tidak perlu hadir atau keluar mengundi pada hari mengundi,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (28 Nov 2026).
Sebanyak 29 kerusi dimenangi GPS tanpa bertanding ialah Tanjong Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong dan Sebuyau.
Turut dimenangi ialah Lingga, Beting Maro, Engkilili, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kuala Rajang, Semop, Daro, Repok, Dalat, Tellian, Katibas, Bukit Goram, Bekenu, Lambir dan Bukit Sari.
Kemenangan itu menyaksikan GPS sudah menguasai 35.4 peratus daripada keseluruhan kerusi DUN Sarawak dan hanya memerlukan 13 lagi kerusi untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.
Sementara itu, SPR mengesahkan 168 pencalonan diterima tanpa sebarang pencalonan ditolak selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi.
GPS mengemukakan 82 calon, diikuti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dengan 29 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) (17), DAP (14), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (tiga) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) (satu), selain 22 calon Bebas.
Daripada 53 kerusi yang dipertandingkan, 29 menyaksikan saingan satu lawan satu, 15 pertandingan tiga penjuru dan sembilan pertandingan empat penjuru.
Seramai 154 calon adalah lelaki, manakala 14 lagi wanita, dengan calon tertua berusia 78 tahun dan termuda 24 tahun.
Tempoh rasmi berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan hari ini sehingga jam 11.59 malam, 11 Disember ini.
SPR turut menubuhkan 104 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen.
“SPR juga berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya.
