PRN Sarawak: Empat muka baharu GPS menang tanpa bertanding

Empat calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13, hari ini.

Mereka ialah Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim bagi DUN Muara Tuang, Yussuf Chik (Simunjan), Awang Nashfarini Awang Sarbini (Beting Maro) dan Nurfatin Syafawani Tahamat (Bekenu).

Keempat-empat mereka adalah antara 29 calon GPS yang diumumkan menang tanpa bertanding selepas proses penamaan calon selesai di seluruh Sarawak.

Kemenangan itu menyaksikan mereka bakal menganggotai DUN Sarawak buat kali pertama, sekali gus membawa tanggungjawab baharu dalam memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato Sri Ramlan Harun, dalam kenyataan hari ini mengesahkan 29 calon menang tanpa bertanding dan dipilih sebagai ADUN.

Susulan itu, pengundi di 29 kawasan DUN berkenaan tidak perlu keluar mengundi pada 12 Disember ini.

GPS yang mengemukakan calon di kesemua 82 kerusi DUN Sarawak kini hanya memerlukan kemenangan di 13 lagi kerusi untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Baki 53 kerusi DUN menyaksikan 29 pertandingan satu lawan satu, 15 pertandingan tiga penjuru dan sembilan pertandingan empat penjuru.

“SPR juga berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” kata Ramlan.