600 peserta sertai PERKATA Malaysia Day Charity Run 2025, kutip RM24,000 bantu anak istimewa

Dato Wee Hong Seng

Acara julung kali PERKATA Malaysia Day Charity Run 2025 berjaya menarik penyertaan lebih 600 peserta termasuk murid berkeperluan khas, sekali gus membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap usaha memperkasa golongan istimewa di Sarawak.

Diadakan hari ini (Ahad), program amal bersempena sambutan Hari Malaysia itu turut berjaya mengumpul dana RM24,000 untuk dimanfaatkan bagi pembangunan Sekolah Khas PERKATA Sarawak.

Acara itu dianjurkan Persatuan Kanak-Kanak Terencat Akal (PERKATA) Sarawak dengan objektif meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepelbagaian keupayaan anak istimewa serta pentingnya penerimaan mereka dalam komuniti.

Bertemakan “Empowering Every Child to Shine”, acara sulung itu menyaksikan pelbagai lapisan masyarakat hadir, termasuk ibu bapa, pelajar, sukarelawan dan peserta dari pelbagai latar belakang.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan Dato Wee Hong Seng, Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS).

Naib Presiden PERKATA Sarawak, Mohamad Jaberden Nasir berkata, acara itu menjadi simbol keterangkuman apabila murid berkeperluan khas sendiri turut berlari dan berjalan bersama peserta lain.

“Setiap kanak-kanak, walaupun berdepan cabaran sindrom Down, autisme atau kecederaan otak, tetap berhak diberi peluang untuk menyerlah. Acara ini menunjukkan bahawa masyarakat kita semakin terbuka menerima mereka,” katanya.

Sekolah Khas PERKATA Sarawak yang ditubuhkan pada 1981 kini menempatkan pelajar daripada pelbagai kumpulan berkeperluan khas, dengan pendekatan pendidikan yang menekankan perkembangan bahasa, kognitif, sosial, kemahiran motor halus serta kemahiran asas kehidupan.

Mohamad Jaberden turut merakamkan penghargaan kepada penaja yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan program, serta sukarelawan dan kakitangan yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran acara.

Katanya, dana yang diperoleh akan digunakan untuk menambah baik fasiliti serta program pembelajaran di sekolah berkenaan agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat.

Beliau juga memuji peserta yang dianggap wira sebenar kerana bukan sekadar menyempurnakan larian, tetapi sanggup melangkaui batas untuk menyumbang perubahan positif kepada masyarakat.

“Semangat ini perlu diteruskan. Jadikan acara ini pemangkin untuk terus menyokong kanak-kanak istimewa kita,” ujarnya.