Tiga pasukan pemenang Sarawak Game Jam 2025 berjaya mengharumkan nama negeri apabila berpeluang mempamerkan prototaip permainan ciptaan mereka di LEVEL UP KL 2025, persidangan pembangun permainan terbesar Asia Tenggara yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pasukan berkenaan — Custom (dengan permainan Fracture), MADEVS (Unseen) dan Zerose (CubeCat) — tampil mewakili Sarawak di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South, dari 6 hingga 8 Oktober, hasil sokongan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Menurut SDEC, penyertaan itu memberi peluang kepada pemenang untuk mempamerkan bakat dan idea mereka di peringkat nasional, sekali gus mengetengahkan potensi Sarawak dalam industri kreatif digital yang kian berkembang.
Persidangan tahunan anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) itu menghimpunkan pembangun, penerbit, pelabur dan penggiat industri dari seluruh rantau bagi bertukar pandangan, menjalin kerjasama dan meneroka peluang dalam bidang permainan digital.
Pemangku Ketua Jabatan Inovasi dan Keusahawanan SDEC, Khairool Adzelan Aman, berkata SDEC komited membuka ruang kepada bakat tempatan agar mampu bersaing dan berkolaborasi dengan penggiat global.
“Orang ramai boleh menantikan masa depan yang cerah apabila industri animasi dan permainan Sarawak berdiri sebaris dengan pencipta antarabangsa.
“Peranan SDEC ialah membuka pintu — membimbing bakat, memupuk kerjasama dan menjadikan potensi kreatif Sarawak sebagai karya yang mampu menginspirasikan dunia,” katanya.
Selain pameran di persidangan itu, SDEC turut menganjurkan lawatan industri ke PlayStation Studios Malaysia dan Passion Republic Studios pada 9 Oktober bagi pemenang dan komuniti SwkGDC Game Jam.
Lawatan berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai operasi salah satu studio permainan terkenal dunia serta peluang kerjaya dalam industri berkenaan. Sesi di Passion Republic Studios turut diadakan bersama Singapore Games Association (SGGA) bagi membincangkan landskap pembangunan permainan di Malaysia dan Singapura.
Dalam pada itu, CtrlD Studio, studio tempatan yang membimbing pemenang Game Jam dalam proses penyediaan prototaip, turut menerima pencalonan Grand Jury Award SEA Games Award bagi permainan OverHours, sekali gus memperkukuh reputasi bakat kreatif Sarawak di peringkat serantau.
SDEC menegaskan, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkasa ekosistem kreatif digital Sarawak melalui bimbingan, sumber dan jaringan industri yang mampan, seiring aspirasi menjadikan negeri ini hab ekonomi digital menjelang 2030.
