Projek Kampung Angkat MADANI di Kapit capai kemajuan memberangsangkan

Projek di Nanga Engkuah, Song yang merangkumi pembinaan jambatan besi dan laluan berjalan kaki berbumbung

Pelaksanaan dua projek di bawah Program Kampung Angkat MADANI di kawasan Parlimen Kapit kini menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek di Rumah Kiong, Kapit kini hampir 50 peratus siap, melibatkan kerja-kerja pemasangan kabel elektrik, siling dan beberapa komponen infrastruktur lain.

Sementara itu, projek di Nanga Engkuah, Song yang merangkumi pembinaan jambatan besi dan laluan berjalan kaki berbumbung sudah mencapai 80 peratus kemajuan.

“Saya berasa lega dan berterima kasih kepada pegawai Kementerian Kerja Raya serta agensi berkaitan yang turun padang meninjau sendiri perkembangan projek ini,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Lawatan pemantauan itu diketuai oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perancangan Korporat KKR, Puan Uma Maniam, bersama pegawai kementerian, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) serta beberapa agensi kerajaan lain.

Alexander berharap semua projek di bawah dua Kampung Angkat MADANI di Kapit dapat disiapkan seperti dirancang agar memberi manfaat terus kepada penduduk setempat.

Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui penambahbaikan kemudahan asas.

Sebanyak 43 kampung di seluruh negara terpilih di bawah program ini dengan jumlah peruntukan RM107 juta, manakala setiap kampung menerima RM1 juta melalui Belanjawan 2024 dan 2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *