Ibraco, HMI Medical bina hospital tertier baharu di NorthBank Kuching

Gambaran artistik oleh HMI Medical bagi Hospital Regency Kuching yang menyediakan 300 katil.

Pemaju hartanah dan infrastruktur berpangkalan di Sarawak, Ibraco Berhad pada Khamis (17 Okt) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Health Management International Pte Ltd (HMI Medical) bagi membina Regency Hospital Kuching, sebuah hospital pakar tertier baharu di The NorthBank Township, Kuching.

HMI Medical yang beribu pejabat di Singapura merupakan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan serantau dengan kehadiran di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Hospital berkapasiti 300 katil itu akan dibina dan dikendalikan sepenuhnya oleh HMI Medical serta dijangka siap pada 2029. Ia bakal menjadi hospital pintar yang menawarkan perkhidmatan pakar dan subpakar moden bagi memenuhi permintaan meningkat terhadap penjagaan kesihatan di Sarawak dan rantau Asia Tenggara.

Bagi melaksanakan projek itu, Ibraco menandatangani Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) dengan Kuching Health Holdings Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh HMI Medical, melibatkan penjualan 100 peratus pegangan dalam NorthBank Specialist Hospital Sdn. Bhd. bernilai RM900,000.

Majlis pertukaran MoA antara Ibraco dan HMI Medical disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Pengarah Urusan Kumpulan Ibraco, Datuk Chew Chiaw Han, berkata projek itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti.

“Penubuhan Regency Hospital Kuching bukan sekadar kemudahan kesihatan baharu, tetapi melambangkan aspirasi kami untuk mencipta nilai komuniti melalui pembangunan bandar mapan,” katanya.

Majlis pertukaran MoA yang diadakan di Suntec Convention & Exhibition Centre, Singapura, disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, sempena Sarawak Mega Fair 2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *