Polis tahan suspek kes ugut dan khianat kenderaan di Jalan Laksamana Cheng Ho

Photo ilustrasi janaan AI

Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian ugutan jenayah dan khianat kenderaan yang berlaku di simpang Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching pada Khamis (17 Okt).

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 47 tahun pada 16 Oktober, kira-kira jam 8.16 pagi, berhubung kejadian tersebut.

Siasatan awal mendapati, pengadu yang memandu sebuah kereta telah dihimpit oleh sebuah lagi kenderaan sebelum suspek keluar dalam keadaan marah dan cuba membuka pintu kenderaan pengadu namun gagal.

“Suspek kemudian membaling sebatang paip besi ke arah kenderaan mangsa dan menjerit menyuruhnya keluar dari kereta,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menahan suspek di tempat letak kenderaan tepi Jalan Keranji, Tabuan Desa, kira-kira jam 11.50 malam hari sama.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kes jenayah curi dan judi, namun ujian saringan awal air kencing ke atasnya didapati negatif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat yang masing-masing membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Permohonan reman terhadap suspek telah diluluskan selama empat hari bermula hari ini (17 Oktober) bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Alexson turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan berhemah di jalan raya, serta tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan keselamatan diri dan pengguna lain.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kejadian seumpama itu ke Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Muhammad Shukor Eman di 017-4872632 bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *