Atlet muda Sarawak menyerlah di pentas antarabangsa

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan penutupan Minggu Belia Sarawak 2025.

Pembangunan sukan yang berterusan di Sarawak membuahkan hasil apabila semakin ramai atlet muda negeri ini menyerlah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan belia negeri ini untuk berdiri setanding dengan rakan sebaya dari seluruh dunia apabila diberi sokongan dan ruang yang sewajarnya.

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah

“Saya bangga dengan kejayaan atlet muda Sarawak yang semakin menyerlah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Ini membuktikan bahawa dengan sokongan yang betul, belia Sarawak mampu berdiri setanding dengan rakan sebaya di mana jua,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Minggu Belia Sarawak 2025 bertemakan “Belia Aspirasi Kita” di Dewan Suarah Bintulu pada Ahad (19 Okt).

Penutupan Minggu Belia Sarawak 2025 disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abdul Karim berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan sukan teras termasuk tinju, muay thai dan berbasikal, yang telah berjaya melahirkan ramai atlet muda berbakat.

Beliau menjelaskan, bidang sukan bukan sekadar melatih kekuatan fizikal, malah membentuk jati diri melalui nilai disiplin, kepimpinan dan semangat berpasukan yang menjadi asas kepada keperibadian belia cemerlang.

Selain sukan, katanya, keusahawanan juga menjadi komponen penting dalam membina belia berdaya tahan dan kreatif, dengan pelbagai agensi seperti Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan SME Corp Malaysia menyediakan bimbingan serta bantuan kepada usahawan muda.

Abdul Karim turut menzahirkan keyakinan bahawa semangat dan daya juang yang ditunjukkan oleh golongan belia hari ini akan menjadi pemangkin kepada pembinaan Sarawak yang maju, makmur dan inklusif pada masa hadapan.

“Kekuatan sebenar belia bukan hanya pada tenaga, tetapi pada nilai dan integriti diri. Masa depan Sarawak terletak di tangan generasi muda kita,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *