Belia di negeri ini diseru mempersiapkan diri dengan ilmu berteraskan teknologi terkini dan kecerdasan buatan (AI) bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, golongan belia berpengetahuan tinggi menjadi kunci dalam menggerakkan ekonomi negeri ini serta rantau ASEAN.
Katanya, keupayaan Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui turut diakui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Sarawak menyumbang kepada pembangunan Grid Tenaga ASEAN.
“Maka Kerajaan Sarawak hari ini, saya nak mempersiapkan anda semua supaya mengeluarkan tenaga bagi menggerakkan ekonomi ASEAN.
“Sebab itulah Perdana Menteri meminta kepada saya, bolehkah Sarawak menjadi penyumbang kepada tenaga ASEAN Grid,” katanya pada majlis penutupan Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 di Dewan Suarah Bintulu pada Ahad (19 Okt).

Premier berkata, kelebihan sumber alam semula jadi yang dimiliki Sarawak memberi negeri ini keupayaan untuk menjana pelbagai tenaga boleh diperbaharui yang menjadi sumber ekonomi baharu.
Beliau menegaskan bahawa sumber alam itu merupakan harta intelek yang akan membangunkan Sarawak dan memainkan peranan penting di peringkat serantau, seiring aspirasinya untuk muncul sebagai Star of ASEAN.
Sehubungan itu, beliau menggesa golongan belia agar berdisiplin, beraspirasi serta memiliki visi kepimpinan yang jelas bagi memacu masa depan negeri.\“Kalau pemimpin masa depan tidak mempunyai visi, tidak dapat menganalisis kekuatan yang ada pada kita dan tidak dapat membawa haluan yang betul, negeri kita akan kucar-kacir. Jadi kita mesti bijak mengurus,” tegas Premier.
