Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah dipercayai jenis ekstasi bernilai RM12,400 dalam satu serbuan di Kampung Rukam, Lundu pada Isnin (20 Okt).
Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah bersama Pasukan Task Force IPD Lundu sekitar jam 2 petang di hadapan sebuah rumah tidak bernombor.
“Hasil operasi, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan merampas sebanyak 248 biji pil berwarna biru disyaki dadah jenis ekstasi seberat 100.93 gram dengan nilai pasaran dianggarkan RM12,400,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (21 Okt).
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 kali sebatan jika disabit kesalahan,” jelasnya.
Suspek kini direman tujuh hari bermula 21 hingga 27 Oktober bagi membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lundu telah merekodkan 115 tangkapan berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah sejak Januari hingga 20 Oktober tahun ini.
“Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegasnya.
Beliau menegaskan, pihaknya komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang, sambil mengingatkan orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222.